KOTA KINABALU,21 JULAI-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng peruntukan pembinaan sebuah dewan berjumlah kira-kira RM2 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an telah ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh dari Kementerian Kewangan untuk pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini.
“Suspek dipercayai telah mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan itu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek akan dituduh Khamis ini di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.
