KOTA KINABALU 8 MEI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 132 warga asing dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Sandakan, semalam.
Operasi menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar itu dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta individu yang melanggar syarat pas imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Di Lahad Datu, seramai 52 warga Filipina ditahan hasil pemeriksaan terhadap 81 individu. Tangkapan membabitkan 11 lelaki dewasa, 17 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan.
Sementara itu di Kota Kinabalu, tujuh warga asing ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 67 individu. Mereka terdiri daripada enam lelaki warga Filipina dan seorang wanita warga Indonesia.
Di Sandakan pula, seramai 73 warga asing ditahan selepas pemeriksaan terhadap 147 individu. Mereka melibatkan 12 lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, 22 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan warga Filipina, selain seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia.
JIM Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI dan memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.
