PENAMPANG, 8 MEI -Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kes cubaan membunuh seorang wanita di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, pada khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada tengah hari tadi membabitkan mangsa yang berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang dijaganya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk bertemu kakak ipar mangsa berhubung tuntutan baki hutang kerja membaiki paip rumah.
“Ketika kejadian berlaku pertengkaran sebelum suspek bertindak merampas pisau yang dipegang mangsa dan menyerang wanita terbabit sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala serta leher.
“Suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang berjaya menahan suspek berusia 29 tahun di kawasan semak berhampiran Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar kira-kira jam 5.50 petang hari sama.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
