46 ORANG TANPA DOKUMEN DITAHAN

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 15 Januari 2026 – Seramai 48 orang ditahan dalam Operasi Bersepadu Pendatang Tanpa Izin di sini.

Daripada 48 yang ditahan seramai 46 ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sementara dua yang ditahan atas kesalahan memiliki najis dadah.

Operasi yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan itu bermula 14 hingga 15 Januari telah memeriksa 354 orang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, operasi tersebut disertai 56 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Daerah Semporna serta Pejabat Daerah Semporna, dengan Deputi Superintendan Polis Jaafar Hakim sebagai Ketua Operasi.

Menurutnya, operasi yang dijalankan di beberapa kampung dan sekitar Pekan Semporna itu bertujuan mengekang kemasukan PTI yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan penduduk.

Beliau menegaskan operasi bersepadu itu penting bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara, selain memberi keyakinan kepada masyarakat dan pelancong bahawa Semporna kekal sebagai destinasi yang selamat.

Tambah beliau, pihak polis akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

TAMAT

Share This Article