TAWAU, 23 Okt – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan selepas Bandar Balung, di sini, tengah hari kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.44 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dengan kekuatan 11 anggota diketuai PBK I Suheizan Sahak bergegas ke lokasi sejauh 40 kilometer.
Menurut kenyataan bomba, pemandu kereta itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, pemandu lori tangki yang membawa mustan minyak sawit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Lori terbabit kemudian dialihkan menggunakan kren oleh syarikat yang bertanggungjawab.
Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada risiko kebakaran atau tumpahan minyak sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.10 petang.
Mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun, manakala siasatan lanjut berhubung punca kemalangan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
TAMAT
