SERI BANTU PEMBELI RUMAH PERTAMA , RINGANKAN BEBAN RAKYAT SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 29 APRIL – Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan memperkenalkan Skim Subsidi Pembeli Rumah Pertama Kali (SERI) sebagai langkah utama membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, menerusi skim itu, pembeli rumah pertama yang layak akan menerima subsidi sebanyak 10 peratus daripada harga jualan rumah seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Jual Beli.

Menurut beliau pelaksanaan SERI bukan sahaja bertujuan meningkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Sabah malah dapat meringankan beban kewangan pembeli yang terkesan dengan kenaikan harga hartanah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada masa sama skim ini dijangka merangsang pertumbuhan sektor perumahan di Sabah secara lebih mampan dan inklusif,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memaklumkan kementeriannya turut memperkukuh penyampaian dasar melalui pelaksanaan program Jelajah Aspirasi Menteri yang melibatkan semua agensi dan jabatan di bawah seliaannya.

Katanya, program berkenaan menjadi platform strategik untuk menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan secara terus kepada rakyat selain mendapatkan maklum balas isu setempat di peringkat akar umbi.

“Melalui enam siri jelajah yang dilaksanakan sejak April lalu pelbagai isu telah dikenal pasti dan kini dalam tindakan susulan kementerian,” katanya.

Beliau turut menegaskan usaha bersepadu termasuk penyelarasan bersama 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus diperkasa bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih cekap, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Share This Article