LAHAD DATU: 1 Ogos 2025 ‘ Polis berjaya merampas 157 gram syabu dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.
Tiga orang termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan tersebut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner HJ Dzulbaharin bin HJ Ismail berkata, dalam serbuan pertama seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun ditahan di Kampung Sapadulang selepas didapati memiliki 0.17 gram syabu bernilai RM18.70.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, susulan tangkapan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu menjalankan serbuan di sebuah rumah di Jalan SMK Sains, Batu 8.
“Hasil serbuan berjaya menahan dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun. Pemeriksaan lanjut menemukan 157.54 gram syabu dianggarkan bernilai RM17,329.40 serta pelbagai barangan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.
“Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala wanita terbabit didapati negatif,” katanya.
Tambah beliau, semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara seumur hidup, sebatan, atau hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, ACP Dzulbaharin turut menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
TAMAT
