Isu Pengurusan Bandar Sandakan Dibincang Dalam Kunjungan Hormat Ke KPKT Sabah

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 3 Februari 2026 – Presiden Majlis Perbandaran Sandakan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, dalam satu pertemuan rasmi di Wisma Innoprise, hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Tuan Walter Kenson, menyampaikan taklimat ringkas berhubung isu-isu semasa di daerah Sandakan serta mengadakan perbincangan bersama YB Menteri bagi mendapatkan pandangan dan hala tuju penyelesaian.

Antara perkara dibincangkan termasuk pengurusan kebersihan bandar dan pelupusan sisa pepejal, penyelenggaraan infrastruktur bandar seperti jalan raya, longkang dan kemudahan awam, selain penambahbaikan sistem perlesenan peniaga dan penjaja bagi memastikan pematuhan peraturan.

Perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan pasar awam dan pasar borong, penguatkuasaan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT), serta perancangan pembangunan bandar Sandakan yang mampan selaras dengan dasar kerajaan negeri.

Pertemuan itu juga menekankan kepentingan kesejahteraan komuniti dan peningkatan kualiti hidup penduduk, termasuk penambahbaikan pengurusan aduan awam dan tindakan susulan yang lebih berkesan.

TAMAT

Share This Article