ENAM LELAKI WARGA PAKISTAN DITAHAN SUSULAN INSIDEN PERGADUHAN DI BELURAN

sabahheadlines
1 Min Read

BELURAN, 11 APRIL – Polis menahan enam lelaki warga Pakistan bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Kubambangan, Paitan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata tindakan itu diambil susulan rakaman video insiden berkenaan yang tular di media sosial.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang apabila berlaku salah faham antara mangsa dan sekumpulan lelaki, yang kemudiannya mencetuskan pertengkaran sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang juga warga Pakistan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di hospital termasuk tujuh jahitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.49 petang semalam sebelum menjalankan operasi mengesan dan menahan kesemua suspek pada hari ini.

Kesemua individu yang ditahan akan direman bagi membantu siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, polis turut menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengganggu ketenteraman awam, sebaliknya menyalurkan sebarang pertikaian melalui saluran undang-undang yang betul.

Share This Article