Terima kasih….Redonah menerima cenderahati daripada Jamaliah sambil diperhati oleh Aziah da Noorziah.
TUARAN: 6 Oktober 2025; Jentera wanita memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pelaksana tetapi juga sebagai penyampai aspirasi kerajaan.
“Wanita adalah tulang belakang kekuatan parti dalam perjuangan memastikan kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang telah membuktikan kemampuan membawa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah,” kata Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda.
Beliau berkata demikian semasa Taklimat Gerak Kerja Jentera Wanita PGRS PRN17 Sabah DUN Sulaman di Dewan Utama Bangunan Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Kampung Lok Batik di di sini Ahad lepas.
Redonah memberitahu 74 bahagian Wanita Gagasan Rakyat Sabah menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah selepas PRN-17 nanti.
Menurutnya, setiap jentera mesti bersiap siaga sepenuhnya dengan struktur G10 yang mantap, agar gerak kerja dapat dijalankan dengan lebih tersusun, fokus dan berstrategi.
“Gerak kerja wanita perlu dilaksanakan secara berfokus dan meyakinkan supaya setiap pengundi dapat didekati dengan mesej perjuangan yang jelas. Ini masa untuk kita buktikan bahawa wanita Gagasan mampu menjadi barisan hadapan kemenangan GRS,” katanya.
Redonah turut menyeru agar semua jentera wanita memperkukuh perpaduan dan terus turun padang mendekati rakyat dengan mesej perjuangan GRS yang berasaskan kestabilan dan kesejahteraan.
“Wanita Gagasan adalah benteng semangat dan kekuatan parti. Dari DUN Sulaman, kita gerakkan gelombang kemenangan untuk seluruh Sabah,” katanya lagi.
Tamat
