LAHAD DATU: 14 Ogos- Persatuan Hal Ehwal & Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) mencadangkan had umur pesalah kes juvana di diturunkan daripada bawah 18 tahun kepada 15 tahun ke bawah.
Penurunan itu adalah bagi menepati keperluan semasa.
Timbalan Presidennya, Datuk A. Nagaraju berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kesalahan jenayah melibatkan remaja dapat ditangani dengan lebih tegas, selari dengan perkembangan dan cabaran masa kini.
“Kanak-kanak di bawah umur 15 tahun juga perlu dihalang daripada menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Twitter dan Facebook. Ini bermakna, kanak-kanak bawah 16 tahun tidak boleh memiliki akaun media sosial sama sekali,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, larangan tersebut bertujuan mengelakkan kemudaratan sosial kepada kanak-kanak pada usia yang terlalu muda. Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa yang membenarkan anak di bawah umur melanggar larangan itu boleh dikenakan denda.
Dalam pada itu, CAPS juga mengusulkan pelaksanaan satu sesi persekolahan di seluruh negara, bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang, bagi mengoptimumkan penggunaan fasiliti, mengurangkan kesesakan lalu lintas, serta memberi lebih masa untuk interaksi guru dan murid.
“Kerajaan perlu melaksanakan reformasi kanak-kanak ini demi melindungi generasi masa depan daripada terdedah kepada masalah yang berpunca daripada media sosial dan sistem pendidikan yang kurang efisien,” tegasnya.
TAMAT
