UPPSB AMBIL ALIH TAPAK PROJEK SBAUP, PEMBINAAN RASMI BERMULA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 15 MEI – Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB) secara rasmi mengambil alih kawasan pembangunan Projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) susulan penyerahan tapak oleh Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Chee Chun CHIEH kepada Pengerusi UPPSB, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd Rahman.

Majlis penyerahan tapak yang berlangsung di Lok Kawi pada 12 Mei lalu itu menandakan bermulanya secara rasmi kerja-kerja pembinaan projek strategik berkenaan.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; serta Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Datuk Annuar Ayub.

Penyerahan tapak berkenaan dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Projek SBAUP dibangunkan bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan air terawat di koridor pantai barat Sabah meliputi Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.

Skim berkenaan direka dengan kapasiti muktamad sehingga 950 juta liter sehari (MLD) serta mengguna pakai konsep reka bentuk “bolt-on” bersama Projek Hidroelektrik Ulu Padas sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan meminimumkan impak terhadap alam sekitar.

Majlis itu turut menandakan bermulanya tempoh pelaksanaan projek selama 42 bulan yang disifatkan sebagai langkah signifikan dalam menjamin masa depan bekalan air Sabah selain membantu merapatkan jurang keperluan bekalan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Fasa pertama SBAUP dijadual siap menjelang penghujung 2029 membabitkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 350 MLD di Beaufort serta pemasangan lebih 200 kilometer saluran paip dari Sipitang ke Kota Kinabalu.

Pelaksanaan fasa berkenaan dijangka mampu meningkatkan kestabilan sistem bekalan air negeri sekali gus mengurangkan gangguan bekalan air yang sering dihadapi pengguna di kawasan terlibat.

UPPSB merupakan anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd iaitu syarikat usaha sama strategik antara Gamuda Berhad⁠, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd⁠ dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd⁠.

Share This Article