LAHAD DATU, 15 MEI – Laluan menghubungkan Lahad Datu dan Tawau terputus sementara susulan kejadian tanah runtuh yang menyebabkan jalan di kawasan terbabit tidak dapat dilalui kenderaan.
Bagaimana pun laluan sementara disiapkan dalam tempoh sejam.
Pegawai Daerah Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul berkata, tiada jalan alternatif disediakan buat masa ini bagi pengguna yang ingin menuju ke Tawau atau Lahad Datu.
Namun kerja pembinaan laluan sementara (temporary diversion) sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira satu jam bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan berkenaan secara terkawal.
Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Kejadian tanah runtuh itu dikesan kira-kira jam 2.49 petang ketika anggota Rondaan Cegah Kemalangan (RCK) menjalankan rondaan di lokasi terbabit.
Susulan itu, maklumat kejadian segera disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) Lahad Datu sebelum pasukan trafik diarahkan ke lokasi bagi menjalankan kawalan lalu lintas serta pemantauan keselamatan.
Pihak polis turut menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) Lahad Datu dan Majlis Daerah Lahad Datu bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, pihak polis menasihatkan JKR supaya memasang tanda amaran keselamatan sekiranya laluan berkenaan dibuka semula bagi mengelakkan sebarang kemalangan.
Dalam perkembangan sama, pihak JKR memaklumkan kerosakan jalan di lokasi kejadian dianggarkan sekitar 65 peratus dan kerja penilaian lanjut masih dijalankan.
