KOTA KINABALU, 10 Februari 2026 – Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Nor Omar Sappi mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Negeri, pagi isnin.
Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut disertai barisan kepimpinan utama Briged Sabah PGA termasuk Timbalan Komander Zon Barat, ACP Ijid Landu Binju serta beberapa pegawai pemerintah batalion di Lahad Datu, Kunak dan Sandakan.
Kunjungan berkenaan bertujuan memperkenalkan kepimpinan Briged Sabah PGA selain memberi penerangan mengenai peranan pasukan itu dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.
SAC Nor Omar turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan operasi semasa termasuk pencapaian beberapa kejayaan hasil pelaksanaan tugas penguatkuasaan di lapangan.
Dalam pertemuan itu, Briged Sabah PGA menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kawalan keselamatan, khususnya di kawasan sempadan Sabah menerusi pelaksanaan operasi yang lebih berfokus dan bersepadu.
TAMAT
