KOTA KINABALU,2 SEPT – Orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas, golongan belia serta individu yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan di Sabah.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata keadaan jerebu ketika ini perlu diberikan perhatian serius kerana bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) boleh berubah mengikut keadaan cuaca dan pergerakan angin.
Menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, pencemaran udara berkenaan antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa angin ke wilayah Borneo termasuk Sabah.
Beliau berkata beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu telah mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
“Dalam keadaan kualiti udara tidak sihat, orang ramai khususnya golongan berisiko dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar rumah,” katanya.
Dalam masa sama beliau menyeru persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing sebelum menjalankan sebarang aktiviti luar.
Katanya, penyesuaian terhadap jadual latihan atau program sukan perlu dibuat sekiranya keadaan tidak mengizinkan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet, pemain serta peserta tidak terjejas.
“Aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian sekiranya keadaan tidak mengizinkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara.
Sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran katanya, hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan kualiti udara semasa termasuk usaha pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan oleh JAS serta agensi berkaitan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mengikuti nasihat pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui saluran rasmi.
