SANDAKAN, 11 JUN – Seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan serta denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sandakan selepas mengaku bersalah memiliki 490 biji telur penyu daripada spesies yang dilindungi sepenuhnya.
Tertuduh, Manan Saibung membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Roslinda Razali sebaik pertuduhan dibacakan pada Khamis.
Mengikut fakta kes, tertuduh didapati memiliki 490 biji telur daripada spesies Penyu Hijau dan Penyu Sisik tanpa permit atau kebenaran sah ketika ditahan di hadapan sebuah premis di daerah ini pada 7 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen yang sama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Selain itu, mahkamah mengarahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
