UiTM DEKATI KOMUNITI BAJAU LAUT PALAUH MELALUI PROGRAM ‘BRINGING VISION HOME’

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 9 SEPT — Universiti Teknologi MARA (UiTM) meneruskan usaha mendekati komuniti setempat menerusi Program Bringing Vision HOME yang turut memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan mata secara percuma kepada komuniti Bajau Laut (Palauh) di Tabbah Batang, Tungku.

Program yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 4 petang di Rumah Ngaji Tabbah Batang itu diketuai Pengarah Program Bringing Vision Home, Auni Sakinah Ibrahim dengan penyertaan kira-kira 70 orang terdiri daripada penuntut universiti, tenaga pengajar serta penduduk kampung.

Antara yang hadir ialah Pakar Optometri dan Kanta Lekap Pusat Kesihatan REACH, Fakulti Sains Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Haliza Abdul Mutalib; Pengerusi Rumah Ngaji Tabbah Batang dan Rumah Ngaji Panji, Suhud Abd Razi @ Luth Sinar; Pengerusi Helping Unfortunate Group And Society (HUGS Project), Muhammadlaili BASIR serta Ketua Komuniti Bajau Laut Palauh Tabbah Batang, Mohd Tapaan.

Program berkenaan dianjurkan UiTM dengan kerjasama HUGS Project dan Rumah Ngaji Tabbah Batang khusus bagi mendekati komuniti Bajau Laut di kawasan berkenaan selain menyediakan khidmat kesihatan mata kepada penduduk serta warga Rumah Ngaji.

Selain pemeriksaan mata, pakar mata dari UKM yang dijemput khas turut memberikan rawatan serta menyediakan cermin mata secara percuma kepada warga Rumah Ngaji yang dikenal pasti memerlukannya.

Rumah Ngaji Tabbah Batang yang diwujudkan sejak 2017 kini menjadi antara pusat pembelajaran bagi kira-kira 45 murid daripada komuniti Bajau Laut (Palauh) melibatkan sekitar 15 buah rumah penempatan atas laut.

Kewujudan Rumah Ngaji berkenaan turut mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sering menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada komuniti setempat.

Program Bringing Vision Home itu berlangsung selama dua hari dan dimulakan di Rumah Ngaji Kampung Panji, Lahad Datu dengan sasaran penyertaan dalam kalangan penduduk kampung serta warga Rumah Ngaji di kawasan yang terlibat.

Penganjuran program berkenaan merupakan kali pertama bagi tahun 2026 dan dilihat sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan Komuniti khususnya dalam menyediakan khidmat kesihatan serta sokongan pendidikan kepada golongan yang memerlukan.

Share This Article