SABAH BERPONTENSI PERKUKUH SEKTOR AGROMAKANAN

sabahheadlines
4 Min Read

LAHAD DATU,24 Oktober – Sabah berpotensi memperkukuh sektor agromakanan melalui pembangunan pertanian, penternakan, akuakultur dan pemprosesan makanan, dengan penekanan terhadap tenaga kerja berkemahiran, penggunaan teknologi bersesuaian serta akses kepada pasaran.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sektor berkenaan penting dalam menjamin keterjaminan makanan, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat.

Beliau berkata, pembangunan sektor agromakanan perlu selari dengan hala tuju Sabah Development Corridor (SDC) Blueprint 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berdaya saing, inklusif dan mampan.

“Hala tuju itu perlu diterjemahkan melalui peningkatan produktiviti, peluasan penyertaan masyarakat dalam kegiatan ekonomi serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib pada Majlis Pelancaran SEDIA AgroFoodPakar sempena Karnival Agro TVET MADANI Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) 2026 di Dewan Palma KVLD, di sini, hari ini.

Menerusi program SEDIA AgroFoodPakar, seramai 80 peserta disasarkan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam lapan bidang pertanian dan agromakanan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) menggunakan Penilaian Amali (PPA) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Hajiji berkata, program yang pertama seumpamanya dilaksanakan di KVLD itu hanya mengambil masa dua hari berbanding laluan biasa yang boleh mencecah sehingga 18 bulan.

Kos penyertaan pula ditanggung sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Lapan bidang yang ditawarkan merangkumi penyeliaan ladang ruminan, operasi makmal bioteknologi agrikultur, penyeliaan akuakultur air tawar, operasi ladang poltri, jentera pertanian perladangan, penyeliaan pembinaan landskap, operasi pengeluaran tanaman serta pemprosesan makanan.

Selain itu, kerjasama SEDIA dan KVLD turut merangkumi Program IPR-INTAN Tanaman Halia dengan sokongan Kementerian Ekonomi bagi memperkukuh keupayaan tempatan serta mengembangkan potensi ekonomi agromakanan Sabah.

Menerusi program itu, seramai 30 peserta daripada kumpulan B40 termasuk pelajar dan ibu bapa disasarkan menjana pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan seorang.

Setiap peserta akan menerima 1,000 benih halia untuk ditanam di kawasan seluas tiga ekar di KVLD.

Menurut Hajiji, program berkenaan diharap dapat memberikan pengalaman praktikal dalam penanaman dan pengurusan pertanian selain membantu peserta membina sumber pendapatan tambahan yang berpotensi dikembangkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Inisiatif Program Penanaman Pokok Kelapa turut dilaksanakan di kawasan seluas 10 ekar di KVLD dengan melibatkan penanaman 1,000 anak benih kelapa pandan dan tacunan.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara SEDIA dengan institusi latihan pertanian di Sabah selain memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi dan amalan pertanian moden.

Program itu juga bertujuan meneroka potensi sumber pendapatan alternatif menerusi hasil serta produk hiliran kelapa.

Bertemakan “Seribu Kelapa, Satu Legasi” inisiatif berkenaan turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori Most Coconut Tree Seedlings Planted in an Event.

Sebanyak 456 anak benih disumbangkan bersama oleh pegawai dan kakitangan SEDIA serta KVLD manakala selebihnya disediakan oleh SEDIA.

Hajiji berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam membangunkan kemahiran serta membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan.

Katanya, kemahiran bukan sahaja diperoleh melalui pendidikan formal malah pengalaman kerja, latihan praktikal dan pembelajaran di lapangan turut membina pengetahuan serta kompetensi yang bernilai.

Beliau berharap Karnival Agro TVET MADANI KVLD 2026 dapat menjadi platform yang menghubungkan institusi latihan, pihak industri, agensi kerajaan dan masyarakat untuk berkongsi ilmu serta meneroka peluang kerjasama.

Inisiatif itu selaras dengan tema “Agro Diperkasa, TVET MADANI Dipacu”.

Beliau turut berharap kerjasama antara SEDIA dan KVLD dapat diteruskan dengan komitmen kukuh bagi memastikan kemahiran diiktiraf dan dimanfaatkan, potensi pertanian diteroka dengan lebih berkesan serta institusi latihan terus menjadi pemangkin pembangunan bakat dan ekonomi setempat.

Share This Article