CALON KETUA CABANG KETUA ANGKATAN MUDA SILAM LAPOR POLIS, NAMA ‘GUGUR’ HAMPIR SEJAM DALAM SISTEM UNDI

sabahheadlines
2 Min Read
Laporan Polis

SH -SYARMILAH SALLEH
LAHAD DATU : 20 April – Calon PKR Ketua Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Silam, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin membuat laporan polis selepas namanya dikesan hilang dan dilabel sebagai ‘calon tarik diri’ dalam sistem undian selama 45 minit semasa proses pengundian berjalan.

Syafiq, 24, memaklumkan seawal pukul 8.00 pagi hingga 9.30 pagi, namanya sebagai calon nombor dua masih tertera dalam sistem pengundian atas talian, dan beliau telah mengundi seperti biasa.

Tetapi pada jam 9.41 pagi beliau menerima satu panggilan mengejutkan, yang memaklumkan namanya tiba-tiba dilabel sebagai “CALON TARIK DIRI” di dalam sistem undian, walhal beliau tidak pernah membuat sebarang penarikan diri mahupun memberi apa-apa notis rasmi.

“Sebaik menerima maklumat, saya bergegas hadir ke Pusat Pengundian Fizikal di De Leon Hotel, nama saya juga tidak tersenarai dan hanya dua nama calon sahaja yang tertera,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.

Susulan insiden itu, Syafiq membuat laporan polis dan menghubungi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sebelum namanya kemudian dimasukkan semula ke dalam sistem pengundian.

“Persoalannya, siapa yang menarik nama saya? atas arahan siapa? dan atas tujuan apa? atau kesilapan teknikal? bagaimana tempoh 45 minit yang boleh menyebabkan saya kehilangan undi?.

“Saya berdiri teguh untuk KEADILAN yang sebenar kerana ini bukan soal saya sahaja, tapi soal integriti proses demokrasi dalam parti (PKR) yang kita cintai bersama.

Untuk rekod, Syafiq merupakan bekas Naib AMK Cabang Silam 2023-2025.

TAMAT

Share This Article