PAPAR, 3 Disember – Sebuah rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Kabang Lingan, di sini malam ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada jam 7.32 malam melalui talian balai. Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
Jentera bomba tiba pada jam 7.51 malam dan mendapati rumah berkeluasan 30 x 60 kaki tersebut telah terbakar 100 peratus.
Komander Operasi, PBK II Henry Hilarion, berkata pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan kaedah ofensif dan defensif dengan satu aliran sepanjang 200 kaki serta dua pancutan air. Sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.05 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.10 malam,” katanya.
Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Operasi turut dibantu oleh pasukan Sabah Electricity yang menghantar dua petugas bagi memastikan keselamatan elektrik di kawasan terlibat.
Ketua Balai BBP Papar, PPgB Rozlan Bin Osman, boleh dihubungi di talian 013-8976300 untuk maklumat lanjut.
TAMAT
