KOTA KINABALU, 11 APRIL – Suasana harmoni dan penuh semangat muhibah mewarnai penganjuran Program Bersama Rakyat: Riadah Perpaduan yang berlangsung di Taman Tasik, Kompleks Sukan Kota Kinabalu hari ini.
Program yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang itu diserikan dengan kehadiran Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman selaku Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, selain kehadiran barisan kepimpinan negeri.
Acara dimulakan dengan aktiviti senaman ringan sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti riadah yang mendapat penyertaan menggalakkan daripada orang ramai. Kehadiran TYT yang turut serta dalam beberapa aktiviti sukan tradisional seperti menyumpit, melastik dan memanah menambah kemeriahan serta menarik perhatian pengunjung.
Selain aktiviti riadah TYT turut meluangkan masa meninjau pameran agensi sukan negeri termasuk Lembaga Sukan Sabah dan Majlis Sukan Negeri Sabah, yang mempamerkan inisiatif serta pembangunan sukan di negeri ini.
Kemuncak program menyaksikan upacara simbolik pemotongan kek sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi TYT di samping penyampaian cenderahati oleh Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan sebagai tanda penghargaan.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Datuk Jafry Ariffin, Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu, Tuan Syed Ahmad Syed Abas serta beberapa pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat di samping menggalakkan gaya hidup sihat serta merapatkan jurang antara rakyat dan kepimpinan negeri sejajar dengan aspirasi pembangunan Sabah.
