SANDAKAN, 13 JUN – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan 150 liter petrol yang dijangka dibawa ke negara jiran dalam operasi khas di kawasan Jeti Sungai Jipon, Jalan Datuk Tay, di sini.
Menurut Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos, operasi bernama OP TIRIS 4.0 dijalankan kira-kira jam 10.30 malam hasil maklumat risikan dan kerjasama rapat dengan Unit Tindakan Khas (UTK) Markas Taktikal (MARTEK) Sandakan.
Semasa operasi, anggota keselamatan mengesan 140 beg plastik hitam di atas tanah serta sebuah bot yang mencurigakan berlabuh di jeti tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki berada di kawasan daratan manakala tiga lagi berada di atas bot.
Apabila pasukan keselamatan membuat serbuan, seorang lelaki di daratan berjaya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, manakala rakannya melarikan diri. Tiga suspek di atas bot pula terjun ke sungai dan melarikan diri ke kawasan bakau berdekatan tanpa dapat dikesan.
Pemeriksaan seterusnya mengesahkan beg plastik itu mengandungi 2,380 paket minyak masak bersubsidi, manakala lima tong jerikin mengandungi sejumlah 150 liter petrol. Keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM101,508.
Tahanan dan barang sitaan telah diserahkan ke balai polis serta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/69 (Akta 155) dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
DCP Datuk Victor menegaskan bahawa ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus melaksanakan operasi berkala bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang bersubsidi di pantai timur Sabah. Langkah ini penting bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal mencukupi untuk rakyat tempatan serta melindungi kestabilan ekonomi negara.
