BEAUFORT, 6 OGOS- Tiga anggota polis dari Balai Polis Weston maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan aktiviti menjolok kelapa dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 5.56 petang sebelum menggerakkan sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Koperal Chiu Teck Soong, 40, berasal dari Sarawak; Lans Koperal Mohammad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dari Kelantan dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, juga dari Kelantan.
Menurut maklumat awal di lokasi, kejadian dipercayai berlaku apabila seorang daripada mangsa menggunakan sabit kelapa sawit yang disambung dengan batang besi untuk menjolok buah kelapa. Alat berkenaan dipercayai terjatuh sebelum tersangkut pada kabel elektrik berhampiran menyebabkan mangsa terkena renjatan.
Dua lagi rakan mangsa yang cuba memberikan bantuan dan menyelamatkannya turut terkena renjatan elektrik. Ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Operasi di lokasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity yang menjalankan tindakan pemotongan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan selamat sebelum siasatan diteruskan.
Mayat kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
