HAJIJI MAHU PERKEMBANGAN POSITIF ESS ZONE DISAMPAIKAN LEBIH BERKESAN KEPADA WAKIL ASING

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 6 OGOS- Kerajaan Sabah mahu perkembangan positif aspek keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) diketengahkan dengan lebih agresif di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan pelancong sekali gus membuka ruang kepada semakan semula nasihat perjalanan yang dikeluarkan beberapa negara terhadap kawasan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan berkenaan perlu disampaikan dengan lebih berkesan kepada perwakilan asing termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi di Malaysia.

Katanya, langkah itu penting supaya mereka dapat menilai semula dan seterusnya mempertimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan rekod keselamatan yang semakin baik

termasuk tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan sejak Januari 2020.

“Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Sabah, khususnya untuk menikmati pelbagai destinasi pelancongan menarik di Pantai Timur negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Menara Kinabalu hari ini.

Hajiji berkata, secara keseluruhannya keadaan keselamatan di ESS Zone berada pada tahap baik dan terkawal.

“Baru-baru ini, saya sendiri telah melawat enam buah pulau di perairan Sabah untuk meninjau pos-pos kawalan serta melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan,” katanya.

Beliau menyifatkan ketiadaan sebarang kes penculikan untuk wang tebusan selama lebih enam tahun sebagai satu pencapaian besar hasil kecekapan dan komitmen Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan yang terlibat.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM serta semua agensi keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Dalam Negeri serta semua agensi berkaitan bagi meningkatkan keupayaan operasi, aset, kesiapsiagaan dan kebajikan anggota keselamatan demi memastikan keamanan di ESS Zone terus terpelihara.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman.

Share This Article