KOTA KINABALU, 4 SEPT – Tindakan menyahaktifkan sistem penggera kebakaran tanpa alasan teknikal yang sah mengundang tindakan penguatkuasaan apabila 34 tawaran kompaun dikeluarkan terhadap premis hotel di seluruh Sabah menerusi Task Force Ops Trigger 2026.
Operasi bersepadu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri semalam, dengan 76 premis hotel diperiksa antara jam 10 pagi hingga 3 petang.
Daripada jumlah berkenaan, 34 tawaran kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 55, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), membabitkan jumlah keseluruhan RM4,600.
Pengarah JBPM Negeri Sabah, PKPjB Mohd Pisar Bin Aziz, berkata operasi berkenaan bukan semata-mata untuk mengeluarkan kompaun sebaliknya memastikan pihak pengurusan hotel mengambil serius aspek keselamatan kebakaran.
“Keselamatan penghuni dan tetamu premis adalah keutamaan. Sistem penggera kebakaran merupakan salah satu komponen penting dalam memberikan amaran awal sekiranya berlaku kecemasan dan tidak seharusnya dinyahaktifkan tanpa alasan teknikal yang sah,” katanya.
Menurutnya, tindakan sengaja mengasingkan, memintas atau mematikan sistem penggera kebakaran boleh menjejaskan fungsi sistem berkenaan untuk memberikan amaran awal sekiranya berlaku kebakaran.
Keadaan itu sekali gus boleh meningkatkan risiko terhadap keselamatan penghuni dan pelanggan, terutama di premis penginapan yang mempunyai kapasiti penghuni tinggi atau berdepan risiko ‘sleeping risk’.
Mohd Pisar berkata, JBPM Sabah memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni akibat kegagalan fungsi sistem keselamatan kebakaran.
“JBPM Negeri Sabah akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan tahap pematuhan keselamatan kebakaran di premis berisiko khususnya sektor perhotelan, sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan,” katanya.
Pelaksanaan Task Force Ops Trigger 2026 turut menjadi sebahagian usaha berterusan JBPM Sabah memperkukuh penguatkuasaan selain meningkatkan kesedaran dan pematuhan pihak pengurusan premis terhadap keperluan keselamatan kebakaran.
