OLEH: JALIE MOHAMAD
SANDAKAN : 25 April – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menghantar pulang seramai 623 warganegara Filipina dalam Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), di Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina petang kelmarin.
Pemindahan ini melibatkan tahanan, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan yang terdiri daripada 483 lelaki dewasa, 80 wanita dewasa, 35 kanak-kanak lelaki dan 25 kanak-kanak perempuan, dengan lingkungan umur antara 11 bulan hingga 79 tahun.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, proses pemindahan ini dijalankan dengan kerjasama penuh Kedutaan Republik Filipina yang turut membantu dalam pengeluaran dokumen perjalanan bagi para tahanan.
“Kesemua PATI ini dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara tanpa pas atau permit sah dan tinggal lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin
Menurutnya, seramai 3,993 warga Filipina telah dipulangkan menjadikan jumlah keseluruhan tahanan asing yang dihantar pulang seramai 4,834 orang pada tahun ini.
Menurut, Sh Sitti Saleha, kesemua PATI telah menjalani hukuman penjara dan akan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia semula berdasarkan kesalahan yang dilakukan.
Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana majikan serta pemilik premis agar tidak menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Katanya Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan.
“Majikan dinasihatkan untuk menggaji pekerja asing melalui saluran yang sah dan berlandaskan undang-undang. Jabatan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa,” tambah beliau.
TAMAT
