KOTA KINABALU,25 FEBRUARI -ESSCOM menegaskan komitmennya sebagai agensi penyelaras keselamatan di Sabah Timur dengan terus memperkukuh kerjasama bersama jabatan kerajaan, pasukan penguat kuasa serta pertubuhan bukan kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk perubahan cuaca dan laporan gegaran yang dikesan di kawasan perairan.
Menurut Komander ESSCOM,Datuk Victor Sanjos, pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu dan menyelaras keperluan operasi bersama semua agensi sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri termasuk NGO bagi memastikan kesiapsiagaan yang menyeluruh.
Beliau berkata, pemantauan berterusan dilakukan khususnya susulan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia yang melaporkan kejadian gegaran kebanyakannya berlaku di kawasan laut dan turut melibatkan beberapa lokasi termasuk perairan berhampiran Kudat.
Arahan telah dikeluarkan kepada pegawai di pusat operasi supaya sebarang perubahan cuaca atau situasi tidak menentu segera dimaklumkan kepada pasukan keselamatan khususnya aset di laut agar sentiasa berwaspada dan bersedia mengambil langkah perlindungan sekiranya perlu.
“Untuk makluman semua, di Pusat Operasi ESSCOM sebenarnya kita setiap hari menghubungi dan mendapatkan maklumat-maklumat yang lengkap, yang tepat daripada jabatan-jabatan berkaitan terutamanya Jabatan Meteorologi.
“Sekiranya ada amaran-amaran yang perlu disampaikan kepada masyarakat atau perlu disampaikan kepada aset-aset terutamanya aset-aset pasukan keselamatan yang berada di daratan ataupun di lautan di kawasan maritim Sabah Timur ini maka tindakan pertama kita ialah menghebahkan.
Katanya,tindakan seumpama perlu supaya tidak mahu sesuatu benda itu telah berlaku tetapi tidak dihebahkan.
Justeru peranan utama ESSCOM ialah penyelarasan, koordinasi dan juga apa-apa keperluan bantuan dan penyelamatan daripada agensi-agensi yang boleh memberikan bantuan segera.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat khususnya komuniti di Zon Keselamatan Timur Sabah supaya tidak panik dan sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi daripada agensi berwibawa.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sebaliknya memastikan kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga keselamatan bersama.
TAMAT
