STAR DAN SAPP KE MANA ARAH PRN 17?

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU – Keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah digugurkan.

Keputusan itu dibuat selepas STAR dan SAPP menyatakan pendirian untuk bergerak solo dan menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya negeri nanti.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataan medianya hari ini memberitahu pendirian STAR dan SAPP itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS di sini malam Rabu lalu.

Katanya, STAR dan SAPP masing-masing diwakili oleh presidennya Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan serta Datuk Yong Teck Lee.

“Kedua-duanya telah menyatakan hasrat parti masing-masing untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN nanti.

“Mereka juga memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat kerana tidak mahu terikat dengan agihan kerusi DUN yang dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam mesyuarat tersebut telah memperingatkan agar komponen GRS menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan bersama PH.

Hajiji juga, katanya, telah menegaskan bahawa atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semula calon GRS menggunakan lambang yang sama iaitu lambang GRS dalam menghadapi PRN Ke-17 nanti.

Masidi memberitahu pada mesyuarat itu keputusan telah dibuat di mana parti yang memilih menggunakan kambang sendiri dianggap telah keluar daripada GRS.

“Oleh itu calon-calon daripada parti tersebut tidak lagi mewakili GRS,” katanya.

Bagaimanapun Masidi memberitahu pengerusi GRS yang juga presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah serta parti komponen GRS yang lain menghormati keputusan STAR dan SAPP yang mahu bergerak solo pada PRN nanti.

Mesyuarat selama dua jam itu telah dihadiri oleh presiden parti komponen yang lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Tamat

Share This Article