KOTA KINABALU, 5 Mac – Seramai 81 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi beberapa operasi khas di empat daerah utama negeri ini.
Operasi yang dikenali sebagai Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Belanja itu dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Sipitang dengan menyasarkan individu yang disyaki melanggar undang-undang imigresen negara.
Dalam operasi berkenaan, seramai 202 individu telah diperiksa dan hasilnya 81 warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Daripada jumlah tersebut, 74 yang ditahan merupakan warganegara Filipina melibatkan 27 lelaki dewasa, 22 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki serta 15 kanak-kanak perempuan. Turut ditahan ialah lima warganegara Indonesia yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita dewasa, selain dua lelaki warga Pakistan.
Menurut pihak imigresen, kebanyakan individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, selain kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua warga asing berkenaan telah dibawa ke depot imigresen untuk tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
JIM Sabah dalam kenyataan menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan bagi mengekang pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara
TAMAT
