KOTA KINABALU, 20 OGOS – Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dan Jetama Sdn. Bhd. (JETAMA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi pembangunan sistem bekalan air industri untuk menyokong keperluan industri yang semakin berkembang di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Majlis menandatangani MoU tersebut telah disaksikan oleh Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
Kerjasama ini menyediakan rangka kerja bagi kedua-dua pihak untuk menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersial pembangunan sistem bekalan air industri yang boleh dipercayai dan mampan, selaras dengan perkembangan SOGIP serta peningkatan aktiviti pelaburan di taman perindustrian tersebut.
Melalui kerjasama yang dicadangkan, SOGDC akan memudah cara penglibatan dengan pelabur, menyelaras keperluan tapak serta berhubung dengan pihak berkepentingan manakala JETAMA akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan serta menyumbang kepakaran teknikal dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan sistem yang dicadangkan.
Inisiatif ini dijangka dapat memperkukuhkan infrastruktur sokongan di SOGIP, meningkatkan kesediaan taman perindustrian tersebut untuk menerima pelaburan industri pada masa hadapan serta meningkatkan keyakinan pelabur sedia ada dan bakal pelabur.
Melalui kerjasama ini, SOGDC dan JETAMA berhasrat untuk menggabungkan kekuatan serta kepakaran masing-masing bagi meneroka penyelesaian bekalan air industri yang praktikal dan berdaya maju secara komersial bagi menyokong pembangunan jangka panjang SOGIP.
MoU ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam menyokong agenda pembangunan perindustrian Sabah serta memperkukuh SOGIP sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif.
