DUA PEGAWAI PERTAHANAN AWAM DIDAKWA TUNTUT ELAUN PALSU RM29,440

sabahheadlines
3 Min Read

TAWAU, 24 Sept — Dua pegawai Pertahanan Awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan tuntutan palsu elaun penugasan Monsun Timur Laut berjumlah RM29,440.

Tertuduh, Mohamad Ihsan Said, 42, Penolong Pegawai Pertahanan Awam (KP29) merangkap Pegawai RELA Daerah Lahad Datu, dan Radzmil Saadan, 38, Pembantu Pertahanan Awam (KP19) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Ihsan didakwa mengemukakan dokumen Lampiran M: Rumusan Tuntutan Elaun Penugasan Daerah Lahad Datu yang mengandungi butiran material palsu kepada Joeny Marcus, seorang Pembantu Pegawai Pertahanan Awam.

Dokumen berkenaan membabitkan tuntutan elaun bagi penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana semasa Monsun Timur Laut bagi November dan Disember 2022 serta Januari 2023.

Tuntutan itu didakwa mengandungi jumlah jam bertugas yang melebihi tempoh sebenar penugasan, dengan nilai keseluruhan masing-masing sebanyak RM9,600, RM9,920 dan RM9,920, menjadikan jumlah keseluruhan RM29,440.

Mohamad Ihsan didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sementara itu, Radzmil menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan Mohamad Ihsan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 berkaitan tindakan menyemak borang tuntutan elaun bagi ketiga-tiga bulan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara Disember 2022 hingga Februari 2023 di Pejabat RELA Negeri Sabah di Kota Kinabalu serta Pejabat RELA Daerah Lahad Datu.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang, dengan RM3,000 deposit tunai serta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan termasuk tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober 2026 bagi pengurusan kes mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah manakala perbicaraan ditetapkan selama dua hari pada 19 dan 20 November 2026.

Share This Article