Kanak-kanak ditemukan rentung, dua rumah dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran

sabahheadlines
2 Min Read

TAMBUNAN,10 FEBRUARI- Tragedi Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam maut dalam kebakaran yang memusnahkan dua kediaman serta tiga kenderaan di Kampung Patau dekat sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.08 pagi sebelum pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.

Menurutnya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membabitkan dua rumah jenis separuh kekal selain beberapa kenderaan yang berada di kawasan berkenaan.

“Operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh singkat dan api dapat dikawal sepenuhnya sekitar jam 4.40 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam operasi itu, seorang kanak-kanak perempuan ditemukan tidak bernyawa dalam sebuah bilik, dipercayai akibat terhidu asap tebal dan melecur teruk.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut termasuk siasatan punca kematian.

Sementara itu, seorang wanita berusia 31 tahun turut mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mitchell berkata, anggota bomba menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air bagi memadam kebakaran, dengan bekalan air diperoleh daripada jentera bomba dan pili berhampiran.

Beliau berkata, sebuah rumah satu tingkat musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi kediaman terbakar hampir keseluruhan.

“Kebakaran turut mengakibatkan tiga kenderaan hangus sepenuhnya,” katanya.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan tamat sepenuhnya pada jam 7 pagi.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan kini dalam siasatan pihak berkuasa.

TAMAT

Share This Article