TAMPARULI, 30 OKT – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori membawa muatan minyak masak terbabas di Murug-Turug Eco Tourism (MTET), Jalan Ranau-Tamparuli, petang tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin @ Nurudin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 tengah hari sebelum sepasukan lapan anggota bersama dua jentera, FRT dan EMRS dikerahkan ke lokasi sejauh 24 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi didapati sebuah lori membawa muatan minyak masak terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat dua mangsa lelaki terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seorang mangsa berusia 30 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi mangsa remaja lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan dan telah diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut disertai anggota KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.10 petang selepas pihak bomba memastikan tiada risiko lain di kawasan kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
TAMAT
