KOTA KINABALU, 10 Februari 2026 – Kerajaan Sabah kini mempunyai pegangan sebanyak 20 peratus dalam projek minyak dan gas PETRONAS di perairan negeri ini, sekali gus memperkukuh penglibatan negeri dalam industri tenaga strategik negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penyertaan tersebut dijangka memberi pulangan signifikan kepada Sabah selain membantu meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.
Menurutnya, perkembangan berkenaan turut membuka ruang kepada pengurusan sumber tenaga yang lebih berhemah serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat secara berterusan.
Hajiji turut menyifatkan kerjasama SMJ Energy bersama PETRONAS sebagai langkah strategik yang mampu mengukuhkan kedudukan ekonomi Sabah, di samping menyokong pembangunan sektor tenaga secara telus dan mampan untuk jangka panjang.
Katanya, inisiatif itu juga selari dengan hasrat kerajaan negeri memastikan hasil sumber tenaga dapat diwarisi generasi masa kini dan akan datang.
TAMAT
