KOTA KINABALU, 21 JULAI –Masalah lampu jalan tidak berfungsi dan sistem perparitan yang kurang diselenggara di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila perlu diberi perhatian segera bagi memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, isu berkenaan antara perkara yang sering dibangkitkan rakyat setiap kali beliau turun padang meninjau keadaan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemantauan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sungai Manila mendapati terdapat lebih 10 lampu jalan tidak berfungsi di beberapa lokasi termasuk Jalan Old Labuk, Batu 9; Taman Fortune; Taman Tai Fai Yin, Batu 8; Jalan Pengkalan Kampung Padas; Kampung Jawa 1 serta beberapa kawasan lain.
“Masalah lampu jalan dan perparitan adalah masalah yang turut membebani rakyat. Saya sedar masalah ini turut berlaku di kawasan lain, tetapi dalam dewan yang mulia ini saya hanya mengetengahkan isu di DUN Sungai Manila,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke 17 pada selasa.
Menurutnya, terdapat juga kira-kira 20 tiang lampu jalan tidak berfungsi di laluan Simpang Batu 10 menuju Jalan Sungai Batang Lama selain tujuh tiang lampu di Jalan Pampang yang memerlukan tindakan pembaikan.
Hazem Mubarak berkata, kegagalan menangani masalah berkenaan bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk malah boleh memberi implikasi terhadap keselamatan pengguna jalan raya dan meningkatkan risiko kejadian tidak diingini.
Selain isu lampu jalan, beliau turut membangkitkan keperluan penyelenggaraan serta pembesaran sistem perparitan di beberapa lokasi termasuk Jalan Utama Batu 8 hingga Batu 9, Jalan Kampung Sentosa, Batu 10, Kampung Sibugal Besar serta Sekolah Kebangsaan (SK) Sibugal Besar.
Katanya, penyelenggaraan dan pembesaran parit perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan masalah banjir terutama ketika hujan lebat.
Beliau turut meminta kementerian berkaitan melakukan pemantauan secara berterusan serta mengarahkan pihak konsesi mengambil tindakan segera tanpa hanya menunggu aduan daripada orang awam.
Dalam pada itu, Hazem Mubarak turut mencadangkan agar kerajaan memberi perhatian kepada aspek pemasaran hasil pertanian pekebun kecil selain membantu golongan nelayan meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Beliau berkata, peruntukan tambahan RM1.612 bilion yang dibentangkan kerajaan menunjukkan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah dapat diperkasakan.
