SANDAKAN, 21 JULAI – Keriangan dua kanak-kanak lelaki mandi-manda di sebuah kolam terbiar berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemukan lemas di Jalan Sungai Manila, petang semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa yang masing-masing berusia 9 dan 11 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Pegawai Kanan Bomba II Jimmy Lagung berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 6:01 petang sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera CFRT digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh 19 kilometer.
”Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian pada jam 6:36 petang, kedua-dua mangsa warganegara tempatan itu didapati telah pun dijumpai dan dibawa keluar dari kolam berkenaan oleh orang awam.
”Pemeriksaan susulan oleh pihak KKM mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau menambah anggota bomba bertindak membantu mengangkat dan memindahkan mayat kedua-dua mangsa ke kawasan selamat.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi menyelamat yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Rosemedian bin Majid ditamatkan sepenuhnya pada jam 7:08 malam.
