sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 6 OGOS 2025 – Sebuah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Tabanak Hilir pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 9.02 pagi sebelum sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 25×30 kaki dalam keadaan marak sepenuhnya,” katanya.
Seramai 10 anggota dari BBP Lahad Datu terlibat dalam operasi itu termasuk dari jentera LFRT, CFRT serta sebuah van forensik.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran, dua pancutan, sepanjang 200 kaki dengan sumber air dari tangki jentera dan monsoon drain.
Teknik offensive digunakan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.15 pagi dan operasi ditamatkan sejam kemudian pada jam 10.06 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Turut hadir di lokasi ialah Pegawai FIO Zon Tawau, Zainal bin Sinsian serta tiga anggota PDRM.
TAMAT
