sh@ Syarmillah Salleh
KOTA KINABALU (6 OGOS): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah akan bertindak membantu kerajaan mengekang ketirisan.
Pengarahnya yang baharu Datuk Mohd Fuad Bede berkata tanggungjawab SPRM tidak hanya tertumpu kepada membanteras rasuah tetapi turut membantu kerajaan nengekang ketirisan daripada berlaku untuk tempoh yang panjang.
Halatuju SPRM bukan sekadar membanteras rasuah tetapi perlu melihat bagaimana operasi ketirisan dapat dicegah dan impaknya kepada ekonomi serta tadbir urus negara,” katanya pada majlis serah tugas pengarah SPRM Sabah di sini hari ini.
Mohd Fuad menggantikan Datuk Karunanithy Y.Subbiah dan majlis itu diadakan di Auditorium Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Mohd Fuad turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Karunanithy atas kepimpinannya menerajui SPRM Sabah sejak 17 September 2019, yang kini dilantik ke jawatan baharu sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang berkuat kuasa 15 Ogos ini.
“Beliau mempunyai komitmen luar biasa, kepimpinan yang tegas dan strategik serta berjaya menghadapi pelbagai cabaran sepanjang berkhidmat di SPRM Sabah,” katanya lagi.
Sementara itu Datuk Karunanithy dalam ucapan perpisahannya berkata, kejayaan SPRM Sabah adalah hasil kerjasama erat antara semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan, serta rakan media.
“Saya ingin menyeru warga SPRM Sabah agar terus mengekalkan budaya kerja berintegriti serta profesionalisme,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Haji Rosli Isa, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Haji Sabin Samitah.
TAMAT
