RM22.3 Juta Diperuntuk Perkasa Pekebun Kecil RISDA Sabah Tahun 2026

sabahheadlines
2 Min Read

TENOM, 7 Feb – Kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta bagi memperkasa komuniti pekebun kecil di Sabah sepanjang tahun 2026 melalui pelbagai program pembangunan dan peningkatan produktiviti.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah itu, RISDA Daerah Keningau turut menerima peruntukan sebanyak RM4.66 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan pekebun kecil di daerah berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan tersebut meliputi tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran, serta Program Pengembangan dan Perancangan.

Jamawi berkata demikian ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan SJK(C) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program itu merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA bagi memastikan pekebun kecil, khususnya di luar bandar, mendapat pendedahan terhadap maklumat terkini bagi meningkatkan hasil dan pendapatan.

Beliau turut menekankan keperluan komuniti pekebun kecil untuk mempelbagaikan sumber pendapatan memandangkan pasaran harga getah dunia yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, Jamawi berkata data Rekod Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 menunjukkan sebanyak 24,443 hektar kebun getah matang di Sabah kini tidak lagi diusahakan, sekali gus memberi kesan terhadap pengeluaran getah negara.

Sehubungan itu, beliau berkata RISDA Negeri Sabah turut menerima peruntukan tambahan RM1.5 juta bagi meningkatkan produktiviti kebun getah melalui beberapa program termasuk Pemulihan Getah Terbiar, Pengeluaran Hasil Getah Matang, Insentif Pengeluaran Lateks serta penyediaan prasarana ladang.

Beliau berharap kerjasama strategik antara RISDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dapat diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan sektor getah dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat di negeri ini.

Turut hadir, Pengarah RISDA Negeri Sabah Nor Afzami Isa, Pengarah KEMAS Ahmad Fahhrul Azman Muhammad Radzi, Pengarah GIATMARA Negeri Sabah Ts. Azizzudin A. Aziz, Ketua Daerah OKK Tusib Tulas, wakil Pegawai Daerah Tenom Lusip Pitong serta pemimpin setempat.

TAMAT

Share This Article