Kerajaan Negeri Perkasa Pertanian Luar Bandar Melalui Teknologi Moden – Jamawi

sabahheadlines
2 Min Read

SOOK, 7 Feb – Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasa sektor pertanian luar bandar menerusi pelaksanaan inisiatif Kebun Dapur serta penggunaan teknologi moden, sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, agenda meningkatkan taraf hidup golongan petani, pekebun kecil dan nelayan, khususnya dalam kalangan B40, menjadi keutamaan beliau sejak memegang jawatan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Taklimat dan Kursus Penanaman Halia Fertigasi Kaedah Moden (Kebun Dapur) di Dewan Kampung Sinua, di sini, hari ini.

Menurut Jamawi, jelajah berkenaan akan diperluaskan ke setiap kawasan Parlimen di Sabah dengan program pertama dijadual berlangsung di Tuaran pada 15 Februari dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Dalam usaha menyokong pelaksanaan program itu, beliau berkata kementerian bersama Jabatan Pertanian akan menyediakan pakej input pertanian dan ternakan pada harga lebih rendah termasuk bekalan ayam, kambing, ikan serta tanaman sayur-sayuran bagi membantu penduduk mengusahakan pertanian di sekitar kediaman.

Pada program tersebut, seramai 150 peserta mengambil bahagian dan dibahagikan kepada kumpulan kecil, dengan Jamawi memperuntukkan RM2,000 bagi setiap kumpulan untuk melaksanakan projek penanaman halia.

Beliau turut menghargai inisiatif seorang petani tempatan, Calvin Chin Kit Siong, yang mengendalikan ceramah serta perkongsian ilmu berkaitan penanaman halia fertigasi kepada peserta.

Sementara itu, Jamawi turut menjelaskan kepada penduduk mengenai rasional larangan penanaman guarana di negeri ini, selain meninjau beberapa isu berkaitan sistem pengairan sawah padi termasuk lawatan ke Sungai Transpegalan dan Empangan Panagatan yang menampung keperluan pengairan empat kampung sekitar.

Turut hadir, ADUN Tulid Jordan Jude Ellron, Pegawai Daerah Sook Caroline Benjamin Jiungan, Pegawai Pertanian Sook Azali Aling serta pemimpin setempat..

TAMAT

Share This Article