LAHAD DATU, 25 Dis – Seekor gajah ditemui mati di kawasan Ladang Gold Crop Plantation Sdn. Bhd., Tungku, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Pengawal Keselamatan ladang berkenaan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Tungku pada jam 1.49 petang selepas menerima makluman mengenai penemuan bangkai haiwan tersebut.
Menurut laporan, pengadu dimaklumkan oleh pasukan rondaan sempadan yang menjalankan tugas rutin di kawasan ladang sebelum ternampak bangkai seekor gajah di Blok 6, Fasa 2A, berhampiran sempadan kebun penduduk kampung.
Lokasi penemuan direkodkan pada koordinat 5°07’22.2″N, 118°50’51.7″E.
Setakat ini jantina gajah serta punca kematiannya masih belum dapat dipastikan.
Pengadu memaklumkan tujuan laporan dibuat adalah bagi merujuk kejadian tersebut kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, laporan polis berkenaan telah diterima oleh anggota polis di Balai Polis Tungku.
Kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk siasatan lanjut.
TAMAT
