SH-SYARMILAH SALLEH
KUNAK: 20 April -Ketiadaan pembangunan menyeluruh di Kunak mendorong keperluan untuk kepimpinan baharu yang lebih muda, berdaya saing dan memahami aspirasi masyarakat setempat.
Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, Datuk Sri Dr. Anil Sandhu berkata, penduduk Kunak semakin mengharapkan perubahan lebih ketara, terutama dalam hal kemudahan asas dan peluang ekonomi.
“Keutamaan kita ialah menyelesaikan isu tiga serangkai air, elektrik dan jalan raya yang masih membelenggu kampung-kampung di Kunak,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Lormalong, Tengahari tadi.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk memperkenalkan pelabuhan di Kunak sebagai salah satu inisiatif menjana pertumbuhan ekonomi setempat, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia.
“Kalau suatu hari diberi mandat dan kepercayaan, saya akan pastikan lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan. Pelabuhan ini boleh jadi pemacu kepada pembangunan jangka panjang,” tambahnya.
Anil turut menegaskan bahawa potensi strategik Kunak harus dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan penduduk, terutamanya generasi muda.
Sebagai rujukan, pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 lalu, kerusi DUN Kunak dimenangi Datuk Norazlinah Arif daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 589 undi, menewaskan calon BN, Mejar Halid Harun.
TAMAT
