157 MURID BELURAN BELAJAR DI BAWAH KHEMAH, PM ARAH TINDAKAN SEGERA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 11 APRIL – Nasib 157 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran yang terpaksa meneruskan pembelajaran dalam keadaan serba daif mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan tindakan segera diambil bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Murid di sekolah tersebut dilaporkan terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di kaki lima masjid serta di bawah khemah tanpa dinding sekali gus terdedah kepada hujan dan cuaca panas yang menjejaskan keselesaan mereka.

Perkara itu didedahkan oleh YB Tham Yun Fook selepas menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai keadaan yang disifatkan sebagai tidak kondusif dan membimbangkan.

Mengulas isu tersebut Perdana Menteri dalam kenyataan di media sosial menegaskan bahawa kebajikan serta keselesaan murid tidak boleh dikompromi dan tindakan segera perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

Beliau memaklumkan arahan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk mencari penyelesaian segera bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan pembelajaran pelajar terjamin.

Sementara itu Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa langkah segera termasuk memindahkan sementara murid ke Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran serta menyediakan kemudahan pengangkutan bagi mengelakkan gangguan terhadap sesi persekolahan.

Kementerian turut menjelaskan bahawa kerosakan struktur sekolah berpunca daripada pergerakan tanah dan cerun menyebabkan premis sedia ada tidak lagi selamat digunakan.

Dalam masa sama YB Tham turut memaklumkan bahawa walaupun peruntukan kira-kira RM2 juta telah diluluskan untuk pembinaan semula proses tersebut dijangka mengambil masa. Sehubungan itu beliau mencadangkan penyediaan bilik darjah kabin sebagai langkah penyelesaian sementara.

Isu berkenaan turut mengundang perbincangan lebih luas apabila dikaitkan dengan keperluan memperkukuh peruntukan pembangunan negeri termasuk tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah khususnya bagi menambah baik kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar.

Perkembangan terkini menunjukkan isu ini kini diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan dengan tindakan susulan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan kebajikan murid terus terpelihara.

Share This Article