KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan kesalahan penyeludupan dan pelanggaran undang-undang dengan nilai keseluruhan lebih RM664,000 menerusi Op Taring Gelora Khas Aidilfitri yang dilaksanakan di perairan negeri ini.
Operasi penguatkuasaan yang bermula pada 12 Mac lalu itu digerakkan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan serta penyeludupan yang sering meningkat menjelang musim perayaan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Ahmad Amri Ardui Rahman, berkata sepanjang operasi berkenaan sehingga 15 Mac, pihaknya merekodkan sebanyak 23 kes membabitkan pelbagai kesalahan di bawah beberapa akta.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan termasuk pelanggaran di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Perhutanan 1968.
“Nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan sepanjang tempoh operasi tersebut dianggarkan berjumlah RM664,847.67,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan dan operasi di kawasan perairan Sabah bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara lebih berkesan.
Dalam masa sama, orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau menyalahi undang-undang.
Katanya, kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu usaha penguatkuasaan demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan negara.
TAMAT
