PENAMPANG, 2 APRIL — Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian melibatkan premis kedai emas di sekitar daerah Penampang dan Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Bin Newton berkata, suspek berusia 45 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 31 Mac lalu kira-kira jam 1 tengah hari.
Menurut beliau, tangkapan dilakukan di sebuah kawasan bangunan komersial di Kota Kinabalu hasil risikan dan maklumat yang diperoleh pihak polis.
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan enam utas gelang tangan emas pelbagai saiz yang dianggarkan bernilai kira-kira RM50,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain barang kemas, polis turut merampas sebuah kenderaan, telefon bimbit, pakaian serta beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah suspek.
Semakan rekod lampau mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa kesalahan terdahulu melibatkan jenayah harta benda dan penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan bagi kesalahan berulang.
Dalam pada itu, pihak polis menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau mencurigakan bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
