TAMBUNAN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan khas berjumlah RM57,250 kepada guru-guru yang terjejas dalam kebakaran melibatkan Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan tahun lalu.
Sumbangan berbentuk wang tunai itu disalurkan melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDN&P), Jabatan Ketua Menteri sebagai usaha membantu meringankan beban mangsa yang kehilangan pelbagai peralatan pengajaran serta barangan peribadi.
Bantuan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Setiausaha PHEDN&P, Mohd Rizan Abran dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Pejabat Daerah Tambunan, pada Selasa.
Menurut Mohd Rizan, insiden kebakaran yang berlaku pada 12 Oktober 2025 itu bukan sahaja menjejaskan sebahagian kemudahan sekolah, malah turut menyebabkan bahan pengajaran, peralatan elektronik serta harta peribadi milik beberapa guru musnah.
“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh warga pendidik yang terlibat dan berharap bantuan ini dapat membantu mereka mendapatkan semula keperluan asas serta peralatan pengajaran yang diperlukan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Guru Besar SAN Pekan Tambunan, Ahmad Subri Janing turut menerima bantuan selepas kehilangan komputer riba serta bahan pengajaran apabila pejabat dan peralatan kerjanya musnah dalam kejadian itu.
Beberapa guru lain yang turut terjejas juga menerima bantuan selepas kehilangan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), fail pengajaran, buku rujukan serta peralatan audio seperti pembesar suara yang digunakan dalam proses pengajaran.
Selain itu, sebahagian mangsa turut mengalami kerugian melibatkan barangan peribadi termasuk peralatan rumah dan kenderaan yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.
Kerajaan Negeri berharap bantuan khas itu dapat membantu meringankan beban mangsa serta memulihkan semula kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.
TAMAT
