17 MURID SJKC CHI HWA CATAT REKOD LENCANA KERIS EMAS TERTINGGI

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 20 April – Seramai 17 murid Tahun Enam dari SJKC Chi Hwa berjaya menamatkan “Perkhemahan Lencana Keris Emas” yang berlangsung selama dua hari sM18 hingga 19 April lalu sekali gus mencipta rekod pencapaian tertinggi dalam sejarah sekolah berkenaan.

Program anjuran Persatuan Pengakap SJKC Chi Hwa itu dilaksanakan dengan kerjasama 16 pemimpin Pengakap Kanak-Kanak (KMK) daerah Sandakan yang bertujuan membantu murid melengkapkan latihan lanjutan sebagai persediaan ke arah Rambu Pengakap Kanak-Kanak.

Perkhemahan tersebut merupakan latihan terakhir bagi peringkat Pengakap Kanak-Kanak yang memberi penekanan kepada aspek kepimpinan, khidmat masyarakat, kemahiran luar serta pengetahuan pertolongan cemas.

Sepanjang program peserta menjalani pelbagai tugasan praktikal yang menguji disiplin, semangat kerjasama dan keupayaan menghadapi cabaran.

Menariknya kesemua 17 murid berkenaan berjaya menamatkan keseluruhan peringkat lencana bermula daripada Lencana Keahlian, Lencana Keris Gangsa, Lencana Keris Perak hingga ke Lencana Keris Emas dalam tempoh empat tahun sekali gus mencatat satu pencapaian membanggakan bagi pihak sekolah.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Chan Tzun Hei berkata, program perkhemahan seumpama ini bukan sekadar aktiviti kokurikulum malah menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah dan ketahanan diri murid.

“Pengalaman yang diperoleh melalui aktiviti seperti ini mampu memupuk disiplin, keberanian serta semangat berpasukan dalam kalangan murid untuk diaplikasikan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, pemimpin Pengakap serta guru-guru yang terlibat atas komitmen dalam menjayakan program berkenaan.

Sementara itu Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Barmuli Parudin berharap Persatuan Pengakap SJKC Chi Hwa akan terus berusaha dan berani mencabar diri dalam mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang.

Pergerakan Pengakap yang diasaskan pada tahun 1907 kini telah berkembang lebih satu abad manakala di Malaysia ia mula diperkenalkan sejak tahun 1912 dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sahsiah generasi muda.

Melalui penganjuran perkhemahan INI murid bukan sahaja memperoleh pengalaman berharga malah membina asas kukuh untuk melangkah ke peringkat kepengakapan yang lebih tinggi.

Share This Article