KEBAKARAN KAMPUNG BAHAGIA:AGONG HULUR KURNIAAN PERIBADI BANTU MANGSA

sabahheadlines
1 Min Read

KUALA LUMPUR,22 APRIL- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menghulurkan kurniaan peribadi bagi membantu keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, Ahad lalu.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka bertitah sumbangan akan disampaikan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dalam meringankan beban keluarga terbabit dalam tragedi berkenaan.

Justeru, Sultan Ibrahim menitahkan YSIJ untuk menghubungi Kerajaan Sabah dalam memastikan sumbangan dapat disalurkan kepada keluarga yang terkesan akibat kebakaran.

“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi ini. Saya mendoakan agar mangsa kebakaran diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang menimpa mereka,” titah baginda.

Kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia membabitkan kawasan seluas lebih empat hektar, memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk.

Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian

Share This Article