BEAUFORT, 6 OGOS- Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mendedahkan siasatan awal mendapati tiga anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston, petang tadi dipercayai sedang menjolok buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat berkenaan terkena kabel elektrik.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, galah besi yang digunakan dipercayai hilang keseimbangan lalu menyentuh kabel elektrik di atas.
Menurut Jauteh, dua lagi anggota yang berada berhampiran cuba membantu rakan mereka namun turut terkena renjatan elektrik sebelum ketiga-tiganya rebah di lokasi kejadian.
Mangsa dikenal pasti sebagai anggota Balai Polis Weston iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40 (Sarawak),Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29 (Kelantan) dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26 ( Kelantan)
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota terbabit pergi mengambil buah kelapa sebelum berlaku kejadian. Ketika menggunakan galah besi yang panjang, alat itu dipercayai hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik. Dua lagi anggota cuba membantu rakannya namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian manakala bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi.
Bekalan elektrik di kawasan kejadian kemudiannya diputuskan oleh pasukan Sabah Electricity sebelum anggota bomba bersama polis mengangkat mangsa serta memastikan lokasi berada dalam keadaan selamat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam.
