PESERTA CILIK 4 DAN 5 TAHUN CURI TUMPUAN HMM CHESS RAPID CHAMPIONSHIP TARIK PENYERTAAN ANTARABANGSA.

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 7 JULAI– Dua beradik cilik dari Chinese Taipei mencuri perhatian peserta dan pengunjung apabila beraksi dalam HMM Chess Rapid Championship Sandakan meskipun masing-masing baru berusia empat dan lima tahun.

Ho Che-Ming, 4, dan abangnya, Ho Tse-Ming, 5, menjadi antara peserta paling muda dalam kejohanan itu apabila berani bersaing dalam kategori FIDE Rated bersama pemain-pemain yang jauh lebih berpengalaman.

Kemunculan kedua-dua adik-beradik itu turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa yang kagum dengan keyakinan serta kemampuan mereka memberikan saingan di papan catur.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu dan berakhir Ahad menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 pemain dari seluruh negara serta luar negara termasuk Indonesia dan Chinese Taipei.

Turut mencuri perhatian ialah penyertaan pemain Indonesia, Zaimal Berahima, yang beraksi dalam kategori terbuka sekali gus menyerlahkan lagi penyertaan antarabangsa pada kejohanan berprestij itu.

Dalam kategori terbuka Che-Ming menamatkan saingan di kedudukan ke-116 daripada 125 peserta selepas mengutip dua kemenangan daripada sembilan pusingan.

Sementara itu, Tse-Ming pula berada di kedudukan ke-119 keseluruhan turut mencatat dua kemenangan dalam sembilan pusingan.

Walaupun masih terlalu muda, semangat juang dan keberanian kedua-dua beradik itu bersaing di pentas bertaraf FIDE membuktikan bakat catur mampu digilap sejak usia awal sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan berkenaan.

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Presiden MPS, Datuk Walter Kenson, Pengurus Bahagian Korporat Komunikasi Sawit Kinabalu, Noni Dimsin serta Penyelaras Kejohanan, Vensaid Alonto.

Share This Article